Siti Nurhaliza tunai ibadat korban esok




Aidiladha akan disambut umat Islam di negara ini esok dan saban tahun, Datuk Siti Nurhaliza tidak ketinggalan menunaikan ibadat korban. 

Ini dinyatakan penyanyi jelita itu ketika ditemui BH Online malam tadi ketika berlangsungnya majlis memperkenalkan syarikat pengurusan A Klasse Management milik anak tirinya, Asyraf Khalid di kediamannya di Bukit Antarabangsa. 

"Siti akan buat ibadat korban di beberapa tempat di ibu kota bersama ahli keluarga yang lain. 

"Pastinya ia turut menjadi ruang Siti mengeratkan ukhuwah di antara keluarga, sanak saudara dan masyarakat. Dalam hidup ini juga tentu kita akan berkorban daripada pelbagai segi. Siti juga tak ketinggalan," katanya ringkas. 

Penyanyi lagu Jaga Dia Untukku itu juga mengesahkan penyertaan sebagai artis naungan A Klasse. Bagaimanapun ia lebih kepada hal pengiklanan di media sosial selain endorsement. 

Kerjaya seni Siti masih secara mutlak diuruskan Siti Nurhaliza Production. 

Jika selama ini Siti melakukan promosi atau rebiu produk mahupun perkhidmatan secara percuma di laman media sosial, tetapi bersama A Klasse segala urusan yang sama akan diuruskan syarikat berkenaan dengan bayaran yang ditetapkan. 

"Selama ini sudah ramai artis buat rebiu produk atau bayaran di Instagram contohnya dengan caj bayaran. Kini Siti pula ikut jejak sama. Siti tak payah fikir nak taip apa. Siti cuma muat naikkan gambar beserta keterangan promosi sahaja di media sosial. Siti akan buat semua ini di laman Instagram rasmi di bawah nama @ctdk. 

"Sebelum ini, Siti lebih kepada amal jariah, membantu peniaga di laman sosial. Ada yang memberi tudung kepada Siti contohnya dan kemudian Siti muat naik gambar tudung yang digayakan sendiri sebagai tanda terima kasih. 

"Cara ini memberi peluang kepada peniaga yang mempunyai bajet promosi untuk menjual produk atau perkhidmatan mereka. Ia situasi menang menang kerana peniaga mahu melonjakkan jualan mereka seiring dengan jumlah pengikut yang ramai di kalangan selebriti mahupun mereka yang berpengaruh," katanya. 

Dalam perkembangan lain, Siti memberitahu berkemungkinan besar akan ada perubahan terhadap konsert muzikal mengenai dirinya yang dirancang November hadapan di Istana Budaya. 

"Jika plan A tak jadi kita kena tukar ke plan B. Jika tak ada juga penaja yang berminat nak taja konsert muzikal ini mungkin Siti akan memendekkan jumlah hari persembahan. Pada masa yang sama Siti baharu dapat tawaran melakukan konsert bulan Disember di sebuah lokasi berbeza. 

"Setakat ini memang Siti belum dapat beri kata putus. Kita rancang apa yang datang dulu," katanya.

Comments