Orang ramai diseru derma darah

Orang ramai dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diseru menjayakan kempen derma darah berikutan kekurangan bekalan darah ketika ini.
Timbalan Pengarah 1 Pusat Darah Negara, Datuk Dr. Faraizah Abdul Karim berkata, musim cuti sekolah yang panjang serta hari perayaan memberikan kesan kepada bekalan darah sedia ada.
“Tambahan pula dengan aktiviti tambahan seperti melancong, majlis perkahwinan dan musim banjir di akhir tahun akan meningkatkan keperluan penggunaan darah secara tidak langsung.
“Pihak kami memerlukan kerjasama dan mengalu-alukan pihak penganjur yang ingin mengadakan kempen-kempen derma darah pada waktu ini,” katanya dalam sidang akhbar mengumumkan program derma darah anjuran MBO Cinemas ‘Blood Donation Drive’ di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Pemasaran dan Jualan MBO Cinemas, Cheah Chun Wai; Pengarah Operasi MBO Cinemas, Mariam Yazmin El Bacha dan Ketua Komander St. John Ambulans Malaysia, Datuk Dr. Low Bin Tick.
Dalam sidang akhbar itu, Dr. Faraizah menjelaskan, MBO Cinemas melalui 25 pawagamnya di seluruh negara akan menganjurkan kempen derma darah amal untuk Pusat Darah Negara bermula pada 31 Oktober ini.
Katanya, keprihatinan MBO Cinemas terhadap bekalan darah negara sepatutnya dipuji dan dicontohi oleh lain-lain pihak.
“Secara tidak langsung ini mendidik masyarakat terutamanya remaja tentang amalan murni yang boleh dilakukan di mana sahaja,” katanya.
Sementara itu, Chun Wai berkata, program yang mendapat kerjasama St. John Ambulans itu menyasarkan 5,000 pain darah.
“Kita berharap kempen ini dapat mengukuhkan lagi peranan dalam kalangan masyarakat, bersama dengan nilai teras mereka iaitu keseronokan, hiburan berserta usaha kemasyarakatan,” katanya.

Comments