Malaysia dan Arab Saudi sepakat untuk terus memperkukuhkan perkongsian maklumat risikan di antara kedua-dua negara dalam usaha menangani pengaruh kumpulan militan Negara Islam (IS).
Kesepakatan itu dicapai dalam pertemuan antara Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan rakan sejawatannya di Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammad Salman Al Saud di Jeddah, semalam.
Hishammuddin dalam satu kenyataan berkata, kerjasama itu dilakukan bagi memastikan keselamatan di dua negara itu dapat dipantau ekoran kebimbangan terhadap ancaman tersebut.
“Hari ini saya telah melakukan kunjungan hormat ke atas rakan sejawatan saya di Arab Saudi, Putera Mahkota, Mohammad Salman Al Saud, yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri II Arab Saudi.
“Dalam pertemuan itu, saya dan Putera Mahkota Mohammad Salman telah membincangkan pelbagai perkara yang menyentuh kepentingan kedua-dua negara serta rantau ini khususnya mengenai kebimbangan terhadap ancaman gerakan militan Negara Islam (IS).
“Berhubung perkara ini, Malaysia dan Arab Saudi bersepakat untuk terus memperkukuhkan perkongsian maklumat risikan bagi menangani pengaruh IS. Perkara lain yang turut dibincangkan adalah mengenai situasi yang berlaku di Timur Tengah ketika ini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Pertemuan tersebut yang berlangsung selama 2 jam turut membincangkan hubungan kedua-dua negara khususnya dalam bidang pertahanan dan ketenteraan.
Dalam perkembangan berkaitan, Hishammuddin turut menyatakan penghargaannya kepada kerajaan Arab Saudi kerana menyediakan kemudahan serta keperluan kepada anggota tentera Malaysia di Riyadh yang melaksanakan sedang misi kemanusiaan.
“Di akhir pertemuan itu, saya secara peribadi serta mewakili kerajaan Malaysia merakamkan ucapan terima kasih di atas bantuan Raja Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammad Salman serta Kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia.
“Antaranya dengan meluluskan hak pendaratan tambahan untuk pesawat yang membawa jemaah haji Malaysia serta membenarkan kumpulan jemaah haji Malaysia yang telah melepasi tarikh akhir menunaikan ibadah itu untuk musim ini,” katanya.
Comments
Post a Comment