Atasi masalah biasiswa pelajar



Masalah kegagalan pelajar Melayu mendapat biasiswa perlu diatasi segera kerana keadaan itu boleh menjejaskan proses melahirkan modal insan yang cemerlang terutama dalam kalangan bumiputera.

Beberapa wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menggesa pihak berwajib supaya mengambil kira tanggungjawab dan masalah yang dihadapi pelajar bumiputera sama ada di dalam mahupun luar negara.
Yang Dipertua MPP Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhammad Syahmi Aiman Sulaiman berkata, kerajaan perlu serius dalam usaha mencari penyelesaian kepada masalah tersebut bagi memastikan pelajar yang kurang berkemampuan mendapat hak mereka.
“Isu ini perlu dipandang serius kerana kaum bumiputera bukanlah daripada keluarga yang berada, jadi mereka bergantung harap kepada biasiswa untuk me­nyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
“Jika masalah ini tidak diselesaikan dengan segera, kemungkinan besar ia (masalah) boleh menjejaskan usaha melahirkan modal insan yang cemerlang di negara ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenya­taan Pengerusi Biro Pendidikan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Sirajuddin Salleh yang menjelaskan bahawa kegagalan pelajar mendapat biasiswa kerajaan menyebabkan ramai ibu bapa berdepan dengan tekanan kewa­ngan terutama ketika nilai ringgit jatuh.
Sirajuddin berkata, masalah tersebut seharusnya tidak membelenggu pelajar Melayu dan bumiputera kerana kerajaan sendiri menjadikan bidang pendidikan sebagai medium untuk membantu kaum majoriti itu keluar dari belenggu kemiskinan dan merapatkan jurang antara kaum.
Sementara itu, wakil MPP Universiti Sains Malaysia (USM), Ruziatun Amirah Ismail berkata, tindakan untuk menghentikan atau mengurangkan kuota biasiswa kepada golongan bumiputera perlu diperhalusi agar perkara tersebut tidak menjadi beban kepada pelajar.
“Sebagai wakil suara mahasiswa, sudah semestinya saya tidak bersetuju sekiranya biasiswa ini dimansuhkan kerana kos sara diri semakin meningkat, lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi negara tidak menentu ini.
“Berjimat sahaja yang boleh saya katakan untuk mengatasi masalah ini sebab kalau nak buat kerja sambilan, risau tidak dapat fokus dalam pelajaran pula,” katanya.

Comments