Kira-kira dua juta umat Islam dari seluruh dunia, hari ini membanjiri kawasan sekitar Gunung Arafah di timur Mekah, tempat di mana Nabi Muhammad SAW menyampaikan khutbah terakhir baginda.
Jemaah berehat di kaki gunung itu untuk tidur selepas keletihan berjalan, sambil bersembahyang di sebalik cuaca panas yang mencecah 42°C.
Dengan membawa payung berwarna warni, mereka memulakan perjalanan beramai-ramai sejak subuh menuju ke kawasan gunung berbatu dan licin yang turut dikenali sebagai Jabal Rahmah.
Di sini, Nabi Muhammad SAW menyampaikan khutbah terakhirnya 14 abad yang lalu selepas memimpin umat Islam ketika itu mengerjakan ibadah haji.
Bagi menjamin kelancaran jemaah, pasukan keselamatan Arab Saudi membentuk rantaian manusia di sepanjang jalan di ‘dataran’ yang luas itu bagi mengawasi keadaan.
Sepanjang jalan juga, sukarelawan memberikan kotak-kotak berisi makanan dan botol minuman kepada jemaah.
“Kami rasa dirahmati. Bulu roma saya meremang, satu perasaan yang tidak dapat dijelaskan apabila kami sampai ke puncak gunung,’’ kata Ruhaima Emma, jemaah berusia 26 tahun dari Filipina, sambi menambah kata, dia mendoakan kebaikan untuk setiap umat Islam.
Bagi Akram Ghannam, 45, dari Syria, pula berada di Arafah adalah satu perasaan yang sukar digambarkan.
“Saya sentiasa berdoa kepada Allah agar kemenangan diberikan kepada mereka yang ditindas,’’ katanya.
Kebanyakan jemaah tiba di Arafah dengan menaiki bas, dan ada juga yang berjalan kaki dari Mekah sejauh 15 kilometer.
Jemaah turut menggunakan perkhidmatan Kereta Api Mashair yang menghubungkan tanah suci Arafah, Muzdalifah dan Mina, sebuah bandar khemah yang menyaksikan jemaah menghabiskan masa mereka, malam tadi.
Selepas matahari terbenam, hari ini, jemaah akan bergerak ke Muzdalifah di mana mereka akan mengumpul batu-batu kecil untuk melontar jamrah esok, yang juga merupakan hari Raya Aidil Adha yang disambut kira-kira 1.5 bilion umat Islam di seluruh dunia.
Comments
Post a Comment