Sebanyak 100,000 anggota keselamatan sudah dikerah untuk memantau pergerakan jemaah haji yang akan bermula esok.
Portal Arab News memetik jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Mejar Jeneral Mansour al-Turki sebagai berkata, antara pasukan yang akan memastikan keselamatan semua jemaah ketika musim haji kali ini adalah unit antikeganasan elit, polis trafik dan kakitangan pertahanan awam.
“Mereka akan disokong dengan askar tambahan daripada pasukan tentera dan pengawal kebangsaan,” katanya.
Musim haji kali ini bermula di tengah-tengah kebimbangan ancaman keselamatan yang dikeluarkan oleh kumpulan-kumpulan pengganas.
Kira-kira dua juta jemaah dari seluruh dunia dijangka mengerjakan haji pada tahun ini.
Mansour berikrar bahawa kumpulan militan tidak akan bertapak di Arab Saudi.
Dalam pada itu, media tempatan melaporkan, kira-kira 460 jemaah dari negara Teluk tidak dibenarkan memasuki negara itu di pintu masuk sempadan Batha, Wilayah Ahsa kerana menggunakan permit haji palsu.
Beberapa jemaah haji tersebut mendakwa mereka ditipu oleh operator haram yang memberikan permit palsu.
Comments
Post a Comment