Pulau Pinang Dapat Kembali Status Bandaraya Selepas Dilucut Pada 1976


Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) kini dinaik taraf sebagai Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), berkuatkuasa 1 Januari 2015.
 
Ketua Menteri, Lim Guan Eng, berkata pengiktirafan itu mengulangi sejarah Georgetown sebagai Bandaraya pertama yang dianugerahkan oleh Ratu Elizabeth II pada 1 Januari 1957.

"Majlis (MPPP) telah akhirnya diiktiraf status Bandaraya bermula 1 Januari ini. Pengiktirafan ini akan menjadi penggerak untuk menjana transformasi menjadi negeri pintar dan bertaraf antarabangsa berteraskan inovasi, kreativiti dan ilmu pengetahuan.
 
"Untuk menjayakan usaha ini, Pulau Pinang harus memiliki modal insan yang terlatih, berteknologi tinggi dan toleransi kepada semua idea baru secara bebas dan terbuka," katanya.


Pada 17 Disember lalu, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan meluluskan permohonan Pulau Pinang untuk mendapatkan kembali status Bandaraya.
 
Georgetown pernah dimasyhurkan sebagai Bandaraya pertama di Malaysia namun taraf itu dilucutkan pada 1976 berikutan pewartaan Akta Kerajaan Tempatan baharu.


Usaha menaik taraf Georgetown kembali bermula sejak tahun 2001 semasa Pulau Pinang masih di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan dipergiatkan selepas ibu negeri Pulau Mutiara itu dianugerahkan status tapak warisan dunia bersama Melaka oleh UNESCO pada 2007.

Comments