Buat kali kedua, rakyat Malaysia di seluruh negara tidak menyambut kedatangan Tahun Baharu 2015, selepas kali pertama tidak berbuat demikian pada 2005 akibat tragedi tsunami yang melanda Asia Tenggara pada akhir 2004.
Pembatalan sambutan Tahun Baharu 2015 itu berikutan pelbagai tragedi dan musibah yang melanda Malaysia sepanjang 2014, antaranya insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, tragedi pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Tmur Ukraine dan terbaharu bencana banjir di beberapa negeri.
Sambutan tahun baharu pada malam 31 Disember seperti kelazimannya tidak lagi mewarnai tempat tumpuan orang ramai sekitar ibu negara seperti di Dataran Merdeka, Menara Berkembar Petronas, Jalan Bukit Bintang di samping lokasi lain di seluruh negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kini berada di Kelantan, negeri paling teruk dilanda banjir tahun ini, bagi meninjau dan melawat mangsa yang terjejas teruk dengan bencana itu.
Beliau mengakhiri tahun 2014 dengan bersolat jemaah bersama-sama mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor 2.
Sambutan ambang tahun baharu yang direncanakan sebelum ini seperti kebiasaannya, dibatalkan sebagai tanda menghormati negara yang dilanda musibah banjir di samping beberapa tragedi yang di luar jangkaan.
Comments
Post a Comment