Kota Bharu
Agihan Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia berjumlah lebih RM560 juta mula diagihkan ke semua sekolah di seluruh Malaysia sejak semalam.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, seramai 5.6 juta murid dan pelajar dijangka menerima bantuan itu yang bernilai RM100 setiap seorang.
“Kita sudah beri waran kepada setiap Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk diberi peruntukan ini mengikut sekolah, maka pelajar bolehlah menuntutnya mulai petang ini (semalam).
“Keseluruhan murid dan pelajar kita yang sekolah di bawah Kementerian Pendidikan akan menerima bantuan ini, maknanya lebih RM560 juta juga,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Koordinasi Pelan Tindakan Pasca Banjir Negeri Kelantan, di sini, semalam.
Muhyiddin dalam rangka lawatan kerja ke Kelantan yang turut diiringi isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman.
Sebelum ini kerajaan mengumumkan akan mempercepatkan pemberian bantuan khas persekolahan itu bagi meringankan beban mangsa banjir di seluruh negara.
Mengulas lanjut, Menteri Pendidikan itu berkata, pengurusan sekolah yang terbabit dengan banjir dan masih belum boleh dimasuki guru dan pelajar dibenarkan untuk meminjam dewan sekolah lain bagi tujuan mengagihkan bantuan.
“Jika ada sekolah yang ditenggelami air atau masih diduduki mangsa banjir dan tidak boleh dibuka lagi kerana pentadbiran belum bermula, maka boleh ditempatkan ke sekolah lain yang tidak bermasalah.
“Dengan cara guna dewan sekolah berkenaan dan ibu bapa boleh pergi ke sekolah itu. Maknanya tidak semestinya ambil di sekolah yang bermasalah saja kerana kita mahu supaya pembayaran dibuat dengan segera,” katanya.
Beliau turut memberitahu beberapa cadangan sedang diteliti kementerian berhubung operasi sekolah yang terjejas akibat banjir antaranya membenarkan murid dan pelajar dari sekolah yang tidak boleh dibuka lagi untuk menumpang di sekolah berhampiran.
Dengan kata lain, beliau berkata, kumpulan murid dan pelajar itu masih mendaftar masuk pada 11 Januari ini untuk sesi persekolahan baru, tetapi menumpang di sekolah lain sehinggalah sekolah asal beroperasi semula.
“Bagaimanapun ini semua ikut keadaan. Jika sekolah dalam jajahan itu masih belum boleh dibuka mengikut jadual, maka kita tetapkan dengan cadangan ini yang kemudian akan diperhalusi Pengarah JPN dan PPD.
“Jika tiada langsung sekolah yang sesuai dan tidak boleh elak masalah ini, bermakna kita kena tangguhkan (pembukaan persekolahan) sedikit waktu lagi untuk kawasan yang terjejas itu, namun kena ikut keadaan kes dan sekolah-sekolah tertentu saja.
“Namun penting sekali, sekolah perlu digunakan mengikut jadual dan jangan terlalu lewat sangat. Untuk pembersihan, kita ada seminggu lagi sebelum sekolah bermula, masih ada baki lagi untuk dibersihkan,” katanya.
Menurutnya, bagi Kelantan, sebanyak 30 peratus daripada lebih 90 sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara mahupun terjejas akibat banjir sudah dibersihkan. - Hmetro
Comments
Post a Comment