Hanya Khabar Angin Di Facebook

Balik Pulau: Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Lai Fah Hin menafikan khabar angin mengenai kes penculik yang berlaku di kawasan Balik Pulau, di sini, seperti yang tersebar melalui Facebook (FB)  Ada menyiarkan dalam FB mayat bayi dalam keadaan mengerikan yang telentang berlumuran darah dengan perutnya dibelah, kononnya perbuatan anggota sindiket penculikan yang mengambil organ untuk dijual.  Ia disertakan dengan tulisan ‘Balik Pulau gempar dengan berita kes culik budak perempuan untuk diambil organ. Mereka boleh pecah masuk rumah untuk menculik, hati-hati bagi rumah yang tiada lelaki’ seolah-olah kejadian itu benar-benar berlaku.  Malah, penyebar itu turut menyatakan polis kini melakukan operasi selama 24 jam bagi menjejak penculik kejam itu.  Penyebar itu juga meminta orang ramai berkongsi dan menyebarkan maklumat berkenaan kononnya sebagai langkah berhati-hati dan memberi peringatan kepada semua.  Lai berkata, pihaknya maklum mengenai perkara itu yang menjadi bualan masyarakat di situ dan penyebaran khabar angin berkenaan sudah lama berlaku dan kini ia berulang semula.  “Saya sahkan tiada kes penculikan seperti itu di Balik Pulau. Perkara ini tidak benar ia berita palsu yang diulang siar pihak tertentu tanpa menyiasat kesahihannya.  “Kami tidak menerima sebarang laporan polis daripada sesiapa mengenai kehilangan ahli keluarga,” katanya. -Hmetro

Comments