Paras air Empangan Sultan Abu Bakar meningkat sedikit

CAMERON HIGHLANDS: Paras air di Empangan Sultan Abu Bakar di Lembah Bertam dilaporkan meningkat sedikit kepada 3,500 meter berbanding 3,498 meter pagi tadi berikutan hujan lebat sejak 4.30 petang ini.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, DSP Wan Zahari Wan Busu, berkata catatan paras air itu bagaimanapun dilaporkan normal dan tidak berada di paras bahaya.
"Rabu lepas, paras air di empangan berkenaan mencatatkan 3,509 meter yang dikategorikan bahaya," katanya ketika dihubungi petang ini.
Beliau berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan agensi keselamatan yang terlibat sentiasa memantau keadaan semasa, di sini.
Sementara itu, tinjauan BERNAMA di Ringlet mendapati keadaan cuaca di sini tidak menentu dan hujan turun sekejap-sekejap.
Manakala jumlah mangsa yang masih berada di Pusat Pemindahan Mangsa Bencana di Dewan Serbaguna Orang Ramai, Ringlet, setakat 5 petang tadi tidak berubah iaitu 91 orang terdiri daripada 28 keluarga, sejak pagi tadi.
Dalam kejadian 6.30 petang Rabu lalu, penduduk di tebing Sungai Bertam dekat sini diarahkan berpindah apabila air Empangan Sultan Abu Bakar dilepaskan secara berperingkat berikutan parasnya yang meningkat akibat hujan lebat.
Sementara itu, Pekan Ringlet juga dilanda banjir kilat apabila air di sungai berhampiran naik melebihi paras tebing ekoran hujan lebat selama sejam.
Dalam kejadian itu, lima orang turut terkorban manakala lima lagi cedera.

Comments