Ikon sukan negara itu yang sudah lama tak beraksi itu juga menyuarakan penghargaan kepada peminat dan media serta pihak lain yang membantunya serta memberi sokongan moral.
"Saya sudah kembali ke gelanggang dan berlatih untuk memantapkan aspek fizikal kerana kehidupan harus diteruskan sementara menunggu keputusan BWF (Persekutuan Badminton Dunia," kata Chong Wei.
Dia menyuarakan isu hati itu kepada blogger sukan tanah air, Satwant Singh Dhaliwal dalam ssdhaliwal.blogspot.com, hari ini.
"Sudah lebih sebulan sejak episod ini bermula dan saya membuat keputusan untuk menumpukan kepada latihan dan mengekalkan tahap kecergasan saya.
"Saya terharu dan menghargai mesej diterima daripada semua pihak yang menyokong saya. Juga terima kasih kepada media yang menghormati permintaan saya untuk tidak diganggu ketika ini.
"Saya kini berlatih di gelanggang persendirian dan rakan-rakan saya turut berlatih bersama untuk menemani saya.
"Saya juga tidak berlatih bersama skuad kebangsaan ketika ini kerana dalam tempoh penggantungan."
Chong Wei turut mengulangi rasa yakin kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang bersungguh-sungguh mahu membantunya mengatasi episod ini.
Jaguh negara itu turut berharap untuk menerima satu keputusan yang positif nanti kerana kepingin 'melihat semula langit cerah' mewarnai kehidupannya.
"Seperti yang saya kata sebelum ini saya tidak melakukan apa-apa kesalahan dan akan terus mempertahankan hakikat ini.
"Jadi cara terbaik adalah kembali ke gelanggang dan berlatih sambil mengharapkan sesuatu yang baik akan berlaku kepada diri saya nanti," katanya.
Comments
Post a Comment